Seminar Keusahawanan dan Kesedaran Halal

 

(KERATAN AKBAR SINAR HARIAN)
SINAR HARIAN -06 DISEMBER 2015
Usahawan perlu hasilkan banyak produk

SAPINAH AB GHANI
6 Disember 2015

                                            
 
Hishamuddin (kanan) bersama Ab Malik (dua, kanan) melihat produk keluaran usahawan Perdasama Kelantan.

 

KOTA BHARU - Persaingan dalam industri halal memerlukan usahawan negara inilebih bersedia agar berupaya untuk bersaing dan berdaya saing.

Sejajar dengan itu, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) Kelantan mengambil pendekatan lebih proaktif dengan memberikan pelbagai pendedahan kepada usahawannya.

Yang Dipertuanya, Hishamuddin Zakaria berkata, dalam perangkaan yang dikeluarkan Perbadanan Halal Malaysia, kira-kira 30 peratus produk halal yang ada hari ini dihasilkan Bumiputera, manakala selebihnya dikeluarkan bukan Bumiputera.

“Ia bagaikan satu cabaran bagi kita, justeru tenaga perlu digembleng untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada usahawan agar lebih berdaya saing menghasilkan lebih banyak produk, sekali gus mampu bersaing di peringkat global.

“Kita mengharapkan agar belia dan lepasan ijazah akan bersama-sama dalam menjayakan misi ini,” katanya kepada media pada Seminar Keusahawanan dan Kesedaran Halal, di sini, semalam.

Hishamuddin berkata, sehingga kini lebih 30 peratus usahawan Perdasama terlibat dalam pengeluaran produk halal, malah makanan halal yang dihasilkan juga mendapat tempat di peringkat antarabangsa, sejajar dengan sasaran perbadanan halal negara.

“Antaranya makanan dan minuman, kosmetik, sarang burung walit dan madu kelulut yang sudah memasuki pasaran Indonesia, Thailand, Brunei, China serta Taiwan dengan nilai jualan eksport kira-kira RM100 juta setahun,” katanya.

Menurutnya, Perdasama Kelantan kini mempunyai 4,500 ahli dan terlibat dalam semua sektor industri, majoritinya dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, Pengarah Urusan Felcra Livestock & Agri Produk Sdn Bhd, Datuk Dr Abd Malik Musharaf berkata, pasaran halal cukup besar dan pihaknya sedang memantau industri halal di beberapa negara bagi mewujudkan hab halal yang lebih menyeluruh.

Menurutnya, walaupun tidak mudah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dunia tentang status halal, namun pihaknya optimis memberikan pelbagai pendedahan dan memberi kesedaran tentang perkara itu.

“Peringkat awal, kita lebih kepada memberi kesedaran kerana sesetengahnya berpendapat apabila tidak ada babi, itu halal.

"Mungkin bagi mereka menyembelih menghadap kiblat itu sudah halal, di luar negara, kita jelaskan segala-galanya, bagaimana dengan proses, kandungan dan penggunaan barangan untuk menghasilkan sesuatu produk,” katanya.